Thursday, August 25, 2011

PERKASA, Ezam Dakwa MB Fitnah, Tipu Sultan Selangor


Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Selangor dan Pusat, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Senator Ezam Mohd Noor semalam membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan dibuat ke atas Abdul Khalid kerana didakwa memfitnah dan menipu Sultan Selangor (untuk lebih jelas baca di sini) dalam isu penubuhan Majlis Penasihat Syura untuk menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama http://www.blogger.com/img/blank.gifpada 3 Ogos lalu.

Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin semasa ditemui di Balai Polis Seksyen 6 di Shah Alam di mana mereka membuat laporan berkata tindakan Abdul Khalid adalah suatu kesalahan besar mengikut Akta Hasutan 1948 dan badan itu mahu Menteri Besar Selangor itu disiasat mengikut akta itu.

"GAPS mempunyai pandangan bahawa institusi Raja di Selangor harus dipertahankan sebagai institusi yang unggul untuk menyatukan dan membawa perpaduan rakyat dan bukan bahan untuk ditertawakan diperkotak-katikkan dan dipermainkan," katanya.

Ezam pula berkata beliau merasa bertanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Negara dan Institusi Asas Negara dan beliau bersama teman-teman seperjuangan mempercayai ada agenda halus di sebalik tindakan Abdul Khalid yang didalangi oleh pihak-pihak tertentu untuk merosakkan institusi Istana dan Raja Berperlembagaan.

Bukan sahaja institusi Raja diserang, malah JAIS yang menjaga hal ehwal kebajikan orang Islam juga turut diserang, kata Ezam.

Kelmarin Setiausaha Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan Abdul Khalid bahawa penubuhan Majlis Penasihat Syura itu telah dicadangkan oleh Baginda, adalah tidak benar sama sekali.

No comments: