Tuesday, May 3, 2011

Usah Guna Duit Rakyat Buat Iklan Kempen Mansuh ISA

http://www.sahabat-gunung.com/

Setelah sekian lama isu ISA senyap, kini pakatan rakyat melalui Menteri Besar Selangor sekali lagi memainkan semula ini dengan meluluskan peruntukan RM600,00.00 dari kantung kerajaan negeri untuk membiayai kempen politik mereka bagi menghapuskan akta ISA. Satu usaha yang sia-sia selain dari menghabiskan duit rakyat untuk kepentingan parti pakatan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO negeri Selangor, Abdul Shukur Idrus menggesa agar kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh pakatan PKR-DAP-PAS agar menggunakan wang parti masing-masing jika ingin membina papan iklan bagi menjayakan kempen memansuhkan ISA, dan bukannya menghabiskan wang rakyat untuk kepentingan politik mereka.

“Ini adalah satu pembaziran wang rakyat oleh kerajaan negeri, pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Mereka menggunakan duit rakyat sebanyak itu bagi menjayakan manifesto politik mereka dan pastinya tidak menguntungkan rakyat.

Mereka hanya pandai menghabiskan duit rakyat sahaja, bukannya untuk menyelesaikan masalah melibatkan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Hakikatnya, peruntukan sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu dan membela rakyat, bukannya terus mempermainkan rakyat dengan agenda-agenda kepentingan politik mereka,” ujarnya mengulas tindakan kerajaan negeri yang mahu menggunakan wang rakyat sebanyak RM600,000 semata-mata menjayakan kempen politik mereka.

Tambahnya, tindakan kerajaan negeri memperjuangkan ISA dilihat tidak mewakili kepentingan rakyat. Umumnya kebanyakan rakyat mengetahui bahawa akta ISA ini telah pun wujud sejak dari 1960 lagi sebagai satu akta yang lebih bersifat mencegah.

Dalam bidang perubatan, kita memang sedia maklum, mencegah itu jauh lebih baik dari mengubati. Begitulah juga dalam aspek pembinaan negara bangsa, kos mencegah itu jauh lebih murah berbanding dengan kos memperbaiki segala kerosakan yang telah berlaku.

Malah dalam sesetengah kes bilamana ianya melibatkan nyawa rakyat maka kosnya tidak ternilai dengan wang ringgit lagi.

“Persoalannya kini, adakah kempen memansuhkan ISA yang menggunakan peruntukan yang banyak ini boleh mengubah Selangor menjadi sebuah negeri berkebajikan sebagaimana janji-janji mereka dulu. Tapi hakikatnya, mereka mengabaikan tanggungjawab demi memenuhi tuntutan politik mereka,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Shukur meminta rakyat Selangor menilai kembali sokongan mereka terhadap kerajaan negeri Selangor yang hari ini ternyata memberikan tekanana kepada rakyat, bukannya kerajaan negeri berkebajikan sebagaimana yang mereka laung-laungkan sebelum ini.

Kerajaan negeri ternyata gagal melaksanakan segala janji mereka, kini mereka berusaha untuk menutup segala kelemahan dan kegagalan mereka dengan mengajak rakyat memberi fokus kepada isu ISA yang ternyata tidak memberikan apa-apa kesan kepada rakyat kebanyakan.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan membelanjakan RM600,000 untuk membina papan iklan bagi menjayakan kempen memansuhkan ISA di semua 56 kawasan DUN di Negeri Selangor.

No comments: