Friday, December 24, 2010

AHAMAD KURIS BEBAS, SPRM KANTOI LAGI...

Datuk Ahamad Kuris bersama isteri, Datin Hamidah Ahmad Sujak (kanan) melambai kepada media.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas empat pertuduhan rasuah yang dakwa dilakukannya tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu pada Jumaat, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tuduhan untuk dijawab oleh Ahamad Kuris.

Bekas ADUN itu berkata, beliau akan terus melibatkan diri dalam politik dan setia bersama UMNO.

Pada prosiding itu, Ahamad Kuris diwakili peguam Akbardin Abdul Kader manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah hadir bagi pihak pendakwaan.

Ahamad Kuris, 53, didakwa atas tuduhan meminta suapan wang tunai RM170,000 daripada pengarah syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid pada pukul 11.53 pagi, 26 Februari 2007 di pejabat syarikat tersebut, nombor 10B, tingkat 1, Jalan Mesra Niaga, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris bersama isteri, Datin Hamidah Ahmad Sujak (kiri) berjalan keluar dari bilik Mahkamah Sesyen selepas dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada empat pertuduhan meminta rasuah tiga tahun lalu di Shah Alam, semalam.

Beliau juga didakwa atas tuduhan menerima RM20,000 daripada Azlan pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 di pejabat ADUN Kawasan Semenyih, tingkat 1, Kompleks Penghulu Mukim Semenyih, Kajang.

Ahamad Kuris juga didakwa menerima RM5,000 di tempat yang sama pada pukul 12.30 tengah hari, 17 Ogos 2007 manakala bagi pertuduhan terakhir, beliau didakwa menerima suapan RM5,000 sebagai bayaran kad kredit Maybank bernombor 4842 8100 3023 7719.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, nombor 28-30, Jalan Tukang, Kajang pada 27 Februari 2007.

Semua suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk Ahamad Kuris yang semasa itu sebagai ADUN Semenyih dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membantu syarikat Ufuk Rata untuk mendapatkan tender membina jalan keluar masuk 100 kaki (30 meter) Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Ahamad Kuris juga menghadapi tiga pertuduhan alternatif, iaitu telah secara curang menyalahgunakan semua wang tersebut yang milik UMNO Hulu Langat untuk kegunaan sendiri.

Pada penghakimannya, Ahmad Sazali yang mendengar keterangan 24 saksi pendakwan berkata, bukti menunjukkan wang yang menjadi asas dalam pertuduhan itu hanya timbul selepas Azlan memperoleh tender tersebut.

“Saya putuskan isu wang sebagai dorongan untuk mendapatkan tender tersebut tidak dapat dibuktikan. Saksi pendakwaan 19 (SP 19- Azlan) tidak ada berbincang dengan Ahamad Kuris untuk mendapatkan tender.

“SP19 hanya memaklumkan Ahamad Kuris bahawa dia masuk tender tersebut dan tiada apa-apa usaha dilakukan oleh Ahamad Kuris untuk SP19 mendapatkan tender seperti yang didakwa,” katanya.

Selain itu, Ahmad Sazali juga memutuskan bahawa tiada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa Ahamad Kuris telah secara curang menggunakan wang milik UMNO untuk kegunaan diri sendiri.

Sebaik sahaja keputusan itu dibacakan, beberapa ahli keluarga Ahamad Kuris yang hadir untuk memberikan sokongan dilihat menangis dan saling berpelukan.

Sementara itu, Ahamad Kuris apabila ditemui berkata, beliau sangat bersyukur dengan keputusan tersebut.

“Alhamdulillah, syukurlah. Saya tidak bersalah,” katanya.

2 comments:

Tenang Lautan Biru said...

Mohon promosikan blog kami untuk PRK Tenang.

http://tenangprk.blogspot.com/

Terima kasih.

Klik Di Sini said...

Salam tuan..

Saya blog baru yang masih merangkak2.. Mohon link ke blog tuan untuk menumpang kepopularan blog tuan..

Sekiranya tuan dah link.. maklumkan kepada saya melalui komen.

segala kerjasama didahului ribuan terima kasih...

selamat berjuang,daripada mimview.blogspot.com..