Monday, October 18, 2010

UMNO JANGAN BERBALAH SESAMA SENDIRI...

"Sebagai komponen BN kita mesti buat BN kuat. Kita tidak sepatutnya berbalah di hadapan umum, kita patut lawan pembangkang, bukan sesama kita, lawan musuh kita," - Najib Razak

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) yang juga Presiden UMNO ketika melancarkan Karnival Skuad Sayang 1Malaysia Pergerakan Wanita UMNO di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO (tiga dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo (kiri).

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin
(Bernama,17 Okt 2010)

Perhimpunan Agung Umno ke-61 bakal berlangsung selama lima hari bermula esok (Selasa) hingga Sabtu ini seharusnya menjadi kesinambungan peringatan bagi anggota Umno untuk memperkuatkan parti, selain berusaha terus menerus mendapat sokongan jitu daripada kalangan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu bagi memastikan parti itu terus relevan.

Sudah banyak kali pemimpin-pemimpin Umno - yang terdahulu ataupun yang sedang memegang jawatan mengingatkan supaya parti keramat orang Melayu itu seharusnya relevan, inklusif bukan hanya kepada orang Melayu malah juga berkhidmat dan mendapat sokongan bangsa-bangsa lain.

Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 bagi memastikan keamanan dan kestabilan dalam negara berkekalan dalam usaha negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Umno yang merupakan parti terbesar dalam negara dengan keanggotaan 3.4 juta orang tidak mampu berbalah sesama sendiri, malah harus merapatkan saf bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 nanti membawa keputusan yang memberangsangkan untuk Umno dan BN.

Najib pada Jun lepas berkata beliau mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menghentikan perbalahan secara terbuka dan menumpukan kepada usaha-usaha serta amalan yang memperkukuhkan parti masing-masing dan BN.

"Sebagai komponen BN kita mesti buat BN kuat. Kita tidak sepatutnya berbalah di hadapan umum, kita patut lawan pembangkang, bukan sesama kita, lawan musuh kita," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Umno, sebagai parti tunjang atau tulang belakang yang memerintah negara, perlu menunjukkan contoh terbaik kepada semua parti komponen dan tidak boleh hanya bersandarkan kepada kelemahan parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan.

Untuk memastikan Umno terus relevan dalam abad ke 21, Najib semalam turut mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.




Selain itu, Umno terus berusaha memastikan masalah dalaman di peringkat negeri diselesaikan dengan baik, contohnya di Terengganu, melalui Konvensyen Umno Terengganu 2010 yang diadakan semalam, telah memberi gambaran jelas bahawa Umno negeri itu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin Umno negeri itu semakin utuh.

Beliau tidak menafikan berlaku perselisihan faham dan masalah dalaman tetapi melalui Konvensyen Umno, ia berjaya merapatkan semula pemimpin di negeri itu.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam mengulas keadaan kelam kabut dalam pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan anggota Umno bahawa: " Rakyat memerhati kekuatan kita.

Kita perlu perkuat diri sendiri dan bukan hanya bersandarkan kelemahan pihak lawan." Perkelahian antara pemimpin bahagian, cawangan dan juga peringkat negeri harus dielakkan kerana ini akan memberi kesan yang negatif kepada Umno seterusnya BN bagi menghadapi pilihan raya kelak.

Bagi Umno, perhimpunan kali ini bukan saja akan hanya membahaskan tiga usul iaitu membahaskan ucapan dasar Presiden, ekonomi serta pendidikan dan agama, malah persidangan kali ini akan turut membicarakan usaha-usaha pembangunan kerajaan dalam Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 RMK-10) serta Bajet 2011, dan kemungkinan mengenai persiapan Umno menghadapi dua pilihan raya kecil pada 4 Nov ini dan pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin Umno perlu merapatkan barisan dan mempamerkan semangat 1Umno pada perhimpunan ini bagi memastikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan juga Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah yang akan diadakan serentak pada 4 Nov milik BN.

Pada perhimpunan kali ini, Umno membuat perubahan dengan mengadakan sidang antarabangsa sehari sebelum persidangan Umno bermula dengan menjemput pemimpin parti politik luar negara untuk bertukar-tukar fikiran mengenai isu 'Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru'.

Acara julung kali yang didakan itu telah menerima penyertaan seramai 63 peserta daripada 22 parti politik dari 20 negara.

Melalui persidangan itu, wakil antarabangsa dapat melihat pendekataan baru Umno melalui Model Politik Baru yang menjurus kepada pembangunan teknologi maklumat masa kini, selain memperlihatkan kepada dunia konsep kongsi kuasa BN.

Menerusi forum itu juga para perserta dijangka dapat berkongsi pandangan bagaimana menghadapi serangan dunia maya serta membina kekuatan politik.

Perhimpunan Umno yang akan bermula Selasa ini dengan perasmian tiga sayap Umno oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno akan dihadiri 4,907 perwakilan.

Mereka terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

No comments: