Thursday, August 12, 2010

JIKA SAYA BENAR, GUAN ENG PATUT LETAK JAWATAN…

"Kalau saya salah, saya rela ditangkap dan melepaskan jawatan dalam KMA tetapi kalau tuduhan Guan Eng pula tidak benar, saya mahu dia letak jawatan sebagai Ketua Menteri," tegas Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman di Pulau Pinang.


Beliau kini sedang berbincang dengan peguamnya untuk mengenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab mencemar nama baik KMA dan dirinya bagi tindakan mahkamah selanjutnya.

Ini menunjukkan isu melarang peniaga bazaar Ramadan di kompleks Komtar bukan sekadar isu antara peniaga dengan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) semata-mata.

Ia kini merebak menjadi pertelingkahan KMA dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

KMA semalam mencabar Guan Eng membuat laporan polis berhubung pelbagai tuduhan yang dilemparkannya terhadap KMA dan meletak jawatan sekiranya tuduhan tersebut ternyata tidak benar.

Mohamed Ghani yang kecewa dengan pelbagai tuduhan oleh kerajaan negeri terhadap dirinya dan KMA berkata, pihaknya juga memutuskan untuk menyaman malu kerajaan negeri kerana memburuk-burukkan namanya dan pertubuhan itu.

Pada 11 Ogos, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah membuat keputusan untuk menghalang Bazar Ramadan di Komtar. "Masalah utamanya adalah kegagalan pengelola Bazar Ramadan menyerahkan wang yang dipungut dari peniaga kepada PDC. Sehingga hari ini tidak ada satu sen pun yang dibayar kepada PDC," kata pengurus besarnya, Datuk Rosli Jaafar.

Dalam satu kenyataan pada hari berkenaan, beliau berkata, PDC telah mengadakan satu perbincangan dengan peniaga terlibat dengan lot perniagaan Bazar Ramadan KOMTAR jam 2.30 petang 10 Ogos yang dihadiri 15 peniaga terbabit. Juga hadir ialah wakil Persatuan Peniaga Komtar (KMA), Mohamed Ghani sebagai wakil KMA sebagai pengelola Bazar Ramadan.

Rosli berkata, PDC hanya memaklumkan bahawa pihak pengelola iaitu KMA, harus mengikut kesemua ketetapan, peraturan dan jumlah gerai yang ditetapkan. Katanya, begitu juga dengan pembayaran yang sehingga tarikh itu tiada dipatuhi oleh KMA.

"PDC juga ingin melihat agar Bazar Ramadan ini tidak terlalu sesak yang akan menyebabkan orang ramai sulit berurusan dengan pusat pentadbiran negeri dan boleh menjejaskan keselamatan. Tindakan KMA berurusan dengan peniaga tanpa mendapatkan kelulusan telah merugikan pihak peniaga yang telah membuat persiapan serta mengeluarkan perbelanjaan," tambah Rosli.

Bagi menyelesaikan isu ini, katanya, persetujuan telah dicapai antara pihak pengelola, peniaga dan PDC, iaitu:

1. Bersetuju sejumlah 25 lot gerai sahaja diperuntukkan di ruang legar konkos Paras 3, Komtar, bagi memberi lebih keselesaan kepada semua peniaga dan pengunjung.

2. Bersetuju agar memastikan barangan perniagaan tidak melebihi dua kaki dari sempadan gerai untuk menjamin keselesaan ruang.

3. KMA bersetuju membayar sebanyak RM50 sehari bagi setiap gerai kepada PDC. Manakala PDC akan menanggung kos pemasangan gerai dan alatan yang berkaitan. KMA perlu menjelaskan bayaran sewa kepada PDC selewat-lewatnya esok.

4. Atas persetujuan pihak peniaga, sekiranya KMA gagal mematuhi syarat-syarat PDC dan tidak menjelaskan bayaran yang telah dipersetujui , maka pihak peniaga bersetuju untuk berurusan secara terus dengan PDC dengan kadar yang sama.

5. Pihak PDC bersetuju untuk menyewakan pada harga yang sama yang dikenakan kepada peniaga sedia ada pada kadar RM50 sehari setiap gerai, seandainya PDC mengambilalih pengurusan penyewaan gerai-gerai tersebut.

6. Atas permintaan para peniaga juga, tarikh penyewaan ini akan bermula pada esok dan tamat pada 12 September.

7. Peniaga boleh memasuki gerai masing-masing serta-merta.

8. Semua peniaga yang telah berurusan untuk menyewa lot Bazaar Ramadan dengan KMA akan diperuntukkan sejumlah 25 lot yang akan diuruskan oleh KMA.

Rosli berkata, melalui hasil perbincangan bersama ini, PDC percaya tidak ada masalah yang dihadapi peniaga Bazaar Ramadan sepertimana yang dakwanya digembar-gemburkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Mohamad Ghani berkata beliau sangat kecewa dengan pelbagai tuduhan tidak berasas oleh kerajaan negeri terhadap KMA seperti pecah amanah, gagal membayar sewa dan tidak mematuhi peraturan terhadap penganjur Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tersebut.

Katanya, sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis berhubung tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, semalam.

Pada masa yang sama, beliau turut mencabar Ketua Menteri tersebut untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan ke atas semua tuduhan itu dilakukan untuk melihat sama ada ia benar atau tidak.


"Saya merasa kesal kerana fakta sebenar telah diputarbelitkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

"Gambaran yang diberikan kepada rakyat seolah-olah para peniaga tidak dibenarkan beroperasi kerana KMA tidak membayar sewa tapak gerai.

"Ini adalah pembohongan besar dan sangat jijik yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan agensinya, PDC," katanya.

Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan, PDC menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut setiap kali bulan puasa.


Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan pada 9 Ogos lalu mengenai keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan keesokan harinya.

Beliau mendakwa mempunyai sepucuk surat yang mengatakan PDC seharusnya menghantar surat-surat tersebut (kepada peniaga) pada 10 Julai tetapi ditangguhkan ke 6 Ogos. “Apa yang mereka cuba lakukan?" tegasnya.


Mohamed Ghani mendakwa PDC mungkin tidak puas hati dengan kerajaan negeri, dan cuba melemahkan pentadbiran dengan memperalatkannya.

Beliau turut menyalahkan sesetengah media kerana didakwanya memutarbelit keadaan untuk menunjukkan KMA ada masalah dengan peniaga kerana tidak menjelaskan wang yang dipungut daripada mereka, kepada PDC sebagai bayaran sewa bagi gerai mereka.

Apabila diberitahu bahawa Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang membuat dakwaan tersebut dalam satu sidang akhbar di Komtar semalam, Ghani meminta maaf kepada wartawan, dengan mengatakan dia "belum ada masa untuk membaca akhbar".

No comments: