Sunday, March 28, 2010

KRISIS ISTANA RESAHKAN RAKYAT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan AZRAN FITRI RAHIM

SEORANG penjual pauh (mempelam) di Pasar Wakaf Che Yeh dengan selamba memperkenalkan longgokan pelbagai jenis buah itu dengan pengenalan Pauh Raja, Pauh Pemangku dan Pauh Temenggong. Memang dia bergurau apabila pengunjung asyik bertanyakan harga dan masam atau manis buah yang melambak di pasaran, dibawa masuk oleh peraih dari Siam.

Namun ia sebagai kiasan terhadap konflik dalaman keluarga istana. Seperti peniaga kecil itu, konflik istana yang berlarutan kian meresahkan rakyat. Malah ia diperkatakan rakyat di mana sahaja.

Bagi rakyat mereka yang amat menyanjungi tradisi kesultanan sebagai simbol ketuanan bangsa dan payung kedaulatan di samping anak negeri yang tebal dengan semangat kenegerian, mereka menatap sajian rentetan peristiwa dengan penuh bimbang dan dukacita.

Bayangan konflik yang menyentuh soal hak, kuasa dan kedudukan di samping kepentingan-kepentingan kelompok yang melingkari institusi itu mula menyerlah kepada umum ketika Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra gering Mei tahun lalu.

Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra kelihatan mudah mengambil alih tampuk takhta dan kuasa penuh sebagai sultan ketika Tuanku Ismail Petra berangkat ke Singapura untuk rawatan susulan.

Namun Khamis lalu dalam keadaan sultan yang dikatakan masih gering sejak pulang 4 Mac lalu, secara mengejut kuasa yang ada pada Tengku Muhammad Faris Petra seolah-olah cuba dirampas.

Umum mengetahui pencaturnya adalah kalangan anggota keluarga Tengku Muhammad Faris Petra sendiri, pastinya dengan alasan ia mengikut tafsiran lunas-lunas perundangan sedia ada.

Secara tiba-tiba ketika baginda tiada di negeri ini 'Setiausaha Sulit Sultan Kelantan', Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan Tengku Muhammad Faris telah ditamat pelantikan selaku Pemangku Raja dan tempat baginda diserahkan kepada Pengerusi Majlis Perajaan, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah.

Bekas Setiausaha Kerajaan negeri itu terpaksa membayar harga yang tinggi atas 'kesetiaaan'nya yang luar biasa dan mungkin berdepan dengan tindakan undang-undang.

Apa yang berlaku Khamis lalu dilihat sebagai kemuncak kecelaruan krisis yang melanda - semakin hari kian menghakis kemuliaan institusi itu.

Ada pihak yang mengaitkan konflik dalaman keluarga istana, Tengku Muhammad Faris Petra di satu pihak manakala adindanya, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry dan bonda, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Kemelut itu dikatakan berpunca daripada pendekatan berbeza Tengku Muhammad Faris Petra yang tidak selari dengan resam Istana Kelantan yang sudah tercorak sekian lama.

Malah, ia dikatakan menggusarkan 'dedalu-dedalu' yang selama ini menggenggam erat pelbagai kepentingan dalam negeri, bersandarkan hubungan dengan istana.

Tengku Muhammad Faris mula memperlihatkan pendiriannya dalam pelbagai perkara seperti tindakan memecat Tengku Muhammad Fakhry dalam Majlis Perajaan, penarikan balik gelaran Datuk daripada beberapa individu tertentu yang dilihat sebagai cubaan untuk kekal berkuasa.

Dalam tempoh itu juga berlaku pertukaran beberapa pegawai kerajaan negeri, penilaian semula dalam pengagihan khazanah negeri berlandaskan prosedur sebenar. Ada juga projek yang melibatkan institusi istana dan tindakan undang-undang terhadap pegawai yang dikatakan menyeleweng.

Pelantikan baginda sebenarnya hanya dibuat selepas 10 hari Tuanku Ismail Petra gering.

'Bunga-bunga' kekalutan telah muncul dalam tempoh tersebut apabila MPN tidak dapat membuat keputusan untuk melantik siapakah yang bakal memangku tugas sebagai Sultan Kelantan.

Dikatakan ia disebabkan majlis yang mempunyai kuasa di bawah peruntukkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan untuk melantik sultan atau pemangku raja tidak mendapat kata putus dua per tiga daripada 17 ahlinya. Ini dikaitkan dengan 'titah Bonda' yang tidak memperkenankan Tengku Muhammad Faris Petra berada di persada kuasa. Justeru, satu usaha telah digerakkan untuk memujuk ahli MPN supaya mengesahkan pelantikan Tengku Muhammad Faris.

Bermula daripada pelantikan tersebut muncul satu persatu tindakan yang seolah-olah membuka pekung istana yang selama ini tertutup kepada rakyat.

Ini termasuk soal tunggakan bil hospital, ketiadaan para pegawai kanan menjengah baginda,
kemunculan isteri kedua Tuanku Ismail Petra dan isu tuntutan hak lawatan ke atas suaminya.

Juga halangan terhadap panel doktor untuk meninjau kesihatan baginda di samping tindakan mahkamah oleh Tengku Muhammad Fakry terhadap kekandanya berhubung pemecatannya daripada Majlis Perajaan dan tuntutan kenderaan bernilai RM1.7 juta.

Pendedahan di media secara perlahan-lahan ketika Tuanku Ismail dirawat di Hospital Mount Elizabeth sejak 24 Mei tahun lalu sampai kemuncak sejak kepulangan Tuanku Ismail pada 4 Mac lalu.

Kemunculan Wan Hashim secara tiba-tiba sebagai 'Setiausaha Sulit Sultan' dengan mendakwa baginda menitahkan pembatalan perayaan Hari Keputeraan menggelorakan keadaan sebelum sekali lagi membawa 'titah' lebih mengejutkan Khamis lalu.

Sultan yang didakwanya telah sembuh dikatakan kecewa kerana Tengku Muhammad Faris Petra mengingkari perintah berhubung pembatalan sambutan Hari Keputeraan termasuk penganugerahan darjah kebesaran dan menamatkan pelantikan itu.

Sembuh

Timbul tanda-tanya, sekiranya sembuh, mengapa Tuanku Ismail Petra terus memutuskan untuk melantik Pemangku Raja yang baru dan tidak kembali menaiki takhta.

Persoalan yang berlegar di sebalik perundangan adalah bagaimana penamatan kuasa Pemangku Raja boleh dilakukan di samping sejauh mana pula tahap 'sembuh' yang boleh mengembalikan kuasa raja.

Ada yang berpendapat pelantikan Pemangku Raja ketika itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Artikel 22A(1)(a) Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Kerajaan Kelantan iaitu apabila sultan meninggalkan negeri ini lebih daripada 30 hari
Bagaimanapun, Pejabat Istana Kelantan menegaskan, ia dibuat berasaskan Artikel 22A(1)(b) iaitu apabila sultan gering dan tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya.

Sememangnya status kesihatan baginda yang sebenar menjadi persoalan besar kerana itulah juga akan menentukan sampai bila jawatan akan terus dipangku.

Pejabat Istana Kelantan dan kerajaan negeri menegaskan bahawa Tuanku Ismail masih gering. Ada yang berpendapat baginda sudah pulih dan mampu untuk membuat keputusan sendiri malah laporan perubatan daripada Hospital Mount Elizabeth turut dikemukakan.

Panel perubatan yang dilantik oleh kerajaan Negeri tidak dibenarkan menghadap baginda termasuk cubaan kali terakhir pada 3 Mac lalu sehari sebelum baginda berangkat pulang ke negeri ini.

Sebagai jalan tengah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dikatakan telah memainkan peranannya melantik empat lagi ahli panel perubatan menjadikan kesemuanya 10 pakar perubatan untuk memeriksa tahap kesihatan baginda.

Sekiranya panel perubatan ini berpeluang menghadap dan melakukan pemeriksaan bagi mendapatkan status kesihatan tuanku, ia mungkin dapat menjadi kunci untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Sekiranya jalan perundangan mahu dijadikan kata pemutus, kemelut ini dijangka akan terus berpanjangan kerana ia di luar bidang kuasa mahkamah.

Namun pelantikan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim kelmarin sebagai Yang Dipertua MPN yang baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz memperlihatkan suatu perkembangan yang menarik.

Ayahanda saudara kepada Tuanku Ismail, seorang yang berhemah dan disegani tentunya mempunyai pengaruh dalam institusi diraja Kelantan yang boleh menimbangkan penyelesaian secara kekeluargaan.

Tengku Abdul Halim merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam menyelesaikan konflik diraja pada zaman Almarhum Tuanku Yahya Petra.

Sebagai seorang anggota kerabat tentunya beliau lebih memahami lenggok bicara, budi bahasa dan ragam istana. Namun segalanya terserah kepada keluarga istana. Bagi rakyat, mereka memilih 'buah' yang manis berpanjangan, biarpun di luar musim.

No comments: