Tuesday, July 21, 2009

LUAHAN ANAK JATI MANEK URAI

Oleh Anak Jati Manek Urai
(Forum Utusan Malaysia 21 Julai 2009)

PAGI 15 Julai 2009, hati saya terasa amat tidak sabar-sabar untuk mengetahui keputusan Pilihan Raya DUN Manek Urai. Harapan saya agar berlaku perubahan di Manek Urai, kampung halaman yang saya amat cintai. Namun harapan tinggal harapan.

Sekali lagi keputusan berpihak kepada parti penyandang di situ. Saya terima keputusan tersebut dengan hati yang reda.

Namun, jauh di sudut hati saya, terasa amat kecewa dengan pilihan rakyat Manek Urai dalam pilihan raya kecil kawasan itu. Saya merupakan penuntut di sebuah IPT di Lembah Klang.

Sanggup pulang ke kampung halaman pada malam 13 Julai 2009 dan tidak hadir ke kuliah, semata-mata ingin mengundi untuk mengubah nasib kami sejak sekian lama. Namun sekali lagi penduduk Manek Urai memilih untuk terus ketinggalan.

Di sini, saya bukan menolak syiar Islam yang dibawa oleh PAS. Dan bukan menerima 100 peratus ideologi UMNO.

Saya menyokong kedua-duanya. Namun ikhlas saya katakan hati saya lebih yakin pada kerajaan yang memerintah negara sekarang.

Buat pengundi Manek Urai, cuba renungkan tentang kemajuan yang terdapat di kawasan tersebut. Manek Urai hanyalah kawasan yang dikelilingi pohon-pohon getah dan kelapa sawit dan menjadi sebutan hanya kerana pilihan raya kecil ini.

Renungkanlah wahai penduduk Manek Urai, kita sudah jauh ketinggalan. Saya berkata demikian kerana saya sayangkan kampung halaman sendiri.

Renungkanlah sekali lagi wahai penduduk Manek Urai, adakah tepat calon pilihan anda? Adakah tepat perjuangan yang dibawa oleh sekutu mereka?

Jauh di sudut hati, saya tidak dapat menerima perjuangan yang dibawa oleh mereka. Saya langsung tidak dapat menerima kata-kata pemimpin mereka mengatakan sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat.

Inikah jawapan seorang pemimpin yang tidak tahu berterima kasih? Dan seorang lagi sekutu mereka dengan angkuh dan sombong berkata: "Adakah UMNO menang 14 Julai, 15 Julai sudah boleh buat jambatan baru di Manek Urai?"

Dan izinkan saya nyatakan: "Adakah jika anda menjadi perdana menteri pada 15 September, 16 September anda boleh mengubah segala-galanya?"

Saya tidak mahu menjawab pertanyaan itu. Biarlah mereka yang mengundi pemimpin ini untuk menjawab persoalan tersebut.

Saya tidak bermaksud untuk menghina calon mereka yang menang. Saya akui calon ini seorang peniaga ikan yang berjaya dan seorang pemimpin yang amat mesra dengan penduduk Kuala Krai dan Manek Urai. Tetapi renungkanlah sekali lagi wahai penduduk Manek Urai, mampukah pemimpin ini membawa suara anda ke telinga atasan.

Saya memohon maaf jika luahan saya ini membuatkan penduduk Manek Urai marah dan tersinggung. Tetapi fikirlah sejenak, jika anda tidak fikirkan masa depan anda sendiri, fikirkanlah masa depan anak-anak dan generasi serta bangsa kita.

1 comment:

mail lambong said...

jangan risau kerajaan persekutuan dah janji bagi bantuan..kerajaan negeri kena kerja kuat sikit..
pakat-pakat kerjasama senang cerita..
dua-dua bergaduh..yang susah rakyat..
dua-dua ada peranan masing-masing..
yang menang kena perjuangkan hak-hak rakyat yang kalah tetap kena bantu sebab memang tanggungjawab kerajaan persekutuan..kalau tak nak bantu lepaskan kelantan dari negara malaysia,biar dia buat negara sendiri iaitu negara kelantan bukan lagi negeri kelantan

wajib bantu manek urai sebab mereka tu saudara seislam kita kalau tidak sia-sia ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin negara jadi orang islam.