Saturday, January 3, 2009

ANUAR MUSA - PAS GAGAL KETENGAH CALON BERWIBAWA....

(www.kt-bn.blogspot.com)

Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan melihat PAS gagal mengetengahkan calon yang boleh dianggap tokoh dan berwibawa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu apabila meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.

Mohd Wahid sudah lima penggal memegang jawatan ADUN dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO), pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Anuar Musa berkata, sepanjang perkhidmatan Abdul Wahid Endut termasuk semasa PAS memerintah Terengganu, tidak ada sumbangan besar yang diberikan beliau kepada pengundi di kawasan Wakaf Mempelam.

Tidak banyak berlaku perubahan di DUN Wakaf Mempelam dalam tempoh lima penggal beliau menjadi ADUN kawasan tersebut, katanya.

Berbanding dengan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, merupakan seorang tokoh dan dikenali di peringkat nasional.

Beliau merupakan seorang Timbalan Menteri dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat nasional, termasuk menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kini diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Jika beliau menang sudah tentu Perdana Menteri akan memberi pertimbangan untuk memberikan jawatan penting kepada beliau dalam kerajaan bagi membolehkannya mencurahkan khidmat kepada rakyat.

"Oleh itu, saya berpendapat amat rugi jika pengundi kawasan Parlimen Kuala Terengganu mengundi calon Pas kerana terbukti bahawa Mohd Wahid tidak berupaya untuk merubah keadaan di kawasan Wakaf Mempelam walaupun pernah memegang jawatan sebagai EXCO.

Malah, pemilihan Mohd Wahid sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil ini mengejutkan banyak pihak.

Di kalangan pemimpin PAS dan PKR sendiri, tidak terdapat persefahaman mengenai pemilihan calon. Sebagai jalan tengah, saya difahamkan PAS terpaksa mengemukakan calon ini sebagai kompromi selepas beberapa nama yang disebut-sebut sebelum ini tidak dapat memberi kepuasan kepada pihak-pihak berkenaan," ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Terengganu di Kuala Terengganu.

Badan Perhubungan UMNO Kelantan tetap menghormati keputusan PAS mencalonkan Abdul Wahid, tetapi percaya bahawa pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sudah matang dan bijak dalam membuat pilihan mereka. Mereka sudah pasti akan memilih calon BN yang mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan kesinambungan proses pembangunan di sekitar Bandar Kuala Terengganu.

Tambahan pula, calon BN sebelum ini, Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran, telah membuktikan perkhidmatan yang cemerlang dan sentiasa mengambil berat kebajikan pengundi, khususnya di bidang pendidikan. Sudah tentu Wan Farid akan terus mencurahkan khidmat seperti yang dilakukan oleh calon BN sebelum ini, jika BN menang sekali lagi dalam pilihan raya kecil kali ini.

UMNO Kelantan akan berkempen berhabis-habisan dalam pilihan raya kecil ini, khususnya di tiga kawasan peti undi dalam DUN Wakaf Mempelam, bagi memastikan calon BN akan menang dalam pilihan raya kali ini.

“Pihak kami meminta semua 2,000 cawangan UMNO yang ada di Kelantan supaya menghantar seberapa ramai wakil untuk mengiringi calon BN pada hari penamaan calon pada 6 Januari ini.”

UMNO Kelantan akan menggunakan konsep mesra pengundi dan menjelaskan kepada mereka apa kebaikan dan kelebihan mengundi BN. Dalam kempen tersebut, pihaknya akan mensasarkan golongan atas pagar yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.

No comments: