Ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata program Ladang Rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri gagal mencapai matlamatnya membasmi kemiskinan tegar yang sebenarnya.
Beliau berkata jumlah peserta ladang itu yang berjumlah 4,810 yang kononnya diambil daripada kalangan mereka yang miskin adalah tidak selari dengan angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan iaitu seramai 3,864 orang.
"Saya ingin tahu mekanisme apa yang diguna pakai oleh kerajaan negeri dalam memilih peserta Ladang Rakyat ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.
Ketika menjawab pertanyaan Md Alwi itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata Ladang Rakyat mempunyai mekanisme tersendiri dalam memilih peserta, antaranya mengambil kira kajian daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Beliau berkata peserta itu mungkin terdiri daripada peserta miskin tegar dan dikategorikan sebagai miskin.
Katanya melalui program itu, peserta terbabit menerima dividen RM200 sebulan dan selain aspek kebajikan.
Ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) kerajaan negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam, Kerajaan Kelantan turut menafikan dakwaan wakil BN bahawa program Ladang Rakyat telah melibatkan penggunaan hutan simpan yang hasil balaknya sebelum itu digunakan bagi tujuan membayar dividen kepada lebih 4,000 pesertanya.
Ahmad Yakob berkata sebaliknya penggunaan ladang itu membabitkan kawasan tanah kerajaan yang lain dan dividen itu diberikan melalui bayaran tahunan syarikat swasta yang terbabit mengusahakan kawasan ladang itu.
"Ini tidak benar sama sekali program Ladang Rakyat ini telah melibatkan kawasan hutan simpan dan hasil balaknya kini gunakan untuk membayar dividen. Ini tidak benar," katanya.
Isu Ladang Rakyat itu turut ditimbulkan timbalan ketua pembangkang, Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) yang sangsi dengan program itu dan mendakwa ladang itu telah membabitkan kawasan hutan simpan.
Ahmad Yakob (PAS-Pasir Pekan) juga menafikan hasil balak ladang itu seperti yang didakwa Noor Zahidi perlu dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan.
"Sebaliknya wang tahunan itu tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan kerana ia merupakan entiti program yang berbeza sama sekali. Keputusan mengasingkannya adalah pandangan audit," katanya.
Lebih 4,000 peserta Ladang Rakyat itu menerima dividen bulanan sebanyak RM200 seorang.
Sementara itu Ahmad berkata hasil penambahan pegawai dan kakitangan di Pejabat Tanah dan Jajahan sejak tahun lalu dan tahun ini, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan banyak tunggakan permohonan tanah.
"Tambahan pegawai dan kakitangan ini disebabkan pengstrukturan semula pengurusan pejabat tanah di seluruh negara bagi mengurangkan tunggakan permohonan yang begitu tinggi," katanya.
Menurutnya kerajaan negeri telah berjaya memungut hasil tanah melebihi RM20 juta sepanjang tahun ini berbanding lebih RM13 juta pada tahun sebelumnya.
Dewan kemudiannya meluluskan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) dan persidangan ditangguhkan kepada satu tarikh lain.
Dewan juga diberitahu semakin ramai pelajar Melayu kini belajar di sekolah aliran Cina dan ini dianggap oleh kerajaan Kelantan sebagai baik untuk memupuk integrasi kaum.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata seramai 1,183 pelajar Melayu sedang belajar di sekolah aliran itu sehingga Ogos tahun ini yang menunjukkan peningkatan hampir 18 peratus.
"Pada 2006 seramai 1,014 pelajar, 2007 pula 1,107 dan Ogos tahun ini 1,183 pelajar," katanya ketika menjawab soalan Abdul Fatah Haron (PAS-Bukit Tuku).
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengadakan program untuk menarik minat pelajar berbangsa Cina itu untuk belajar di sekolah agama.
No comments:
Post a Comment