Tuesday, December 7, 2010

SELANGOR ABAIKAN ORANG MISKIN

Kemiskinan di Selangor membimbangkan apa lagi kerajaan negeri membelanjakan sedikit sekali wangnya untuk orang miskin.

Berikutan itu kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sewajarnya digesa meningkatkan bantuan kepada rakyat miskin dan golongan kurang bernasib baik di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) bimbang golongan itu tidak mendapat pembelaan serta bantuan sewajarnya berdasarkan jumlah peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat ini Kerajaan PKR Selangor hanya membelanjakan RM14.6 juta untuk membantu 8,007 penduduk miskin berbanding RM98.7 juta yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu 35,342 keluarga miskin termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak di negeri itu.

"Kalau kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menampung kebajikan golongan miskin di Selangor, mereka akan berada pada tahap berbahaya kerana tidak mendapat pembelaan.

"Jumlah orang miskin di Selangor amat membimbangkan tetapi pembelaan daripada kerajaan negeri terlalu kecil. Justeru saya minta supaya jumlah bantuan itu ditingkatkan.

"Sewaktu parti pembangkang mengambil alih Selangor, banyak duit ditinggalkan oleh kerajaan BN di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo tetapi anehnya mengapa ia tidak diguna untuk menjaga kebajikan rakyatnya?" katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Majlis Ibadah Qurban di Surau At-Taufiqiah, Taman Medan Cahaya.

Sunday, December 5, 2010

THE ECONOMIST - DASAR PKR TIDAK DEMOKRATIK

Laman web The Economist yang mengulas mengenai PKR.Kedudukan Anwar, Wan Azizah, Nurul Izzah buktikan parti kini dikuasai dinasti.

Berita Minggu 5 Disember 2010

Langkah berani Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewujudkan dasar 'satu ahli, satu undi' pada pemilihan parti bulan lalu kononnya untuk mengubah parti itu menjadi moden, terbuka dan membantu mendemokrasikan politik negara tidak mendatangkan hasil seperti diingini.

Artikel yang disiarkan dalam keluaran terbaru majalah The Economist menyatakan langkah itu menghuru-harakan keadaan dan melemahkan PKR pada pandangan pengundi, malah dari satu sudut ia menjadi kelihatan kurang demokratik.

Artikel itu menyebut tidak pernah sebelum ini dalam sejarah Asia Tenggara mempunyai sebuah parti politik yang berani mewujudkan dasar ‘satu ahli, satu undi’ dalam pemilihannya, dengan semua pemimpinnya dipilih oleh semua ahli parti, seperti didakwa parti yang dipimpin oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak awal lagi, pemilihan itu sukar dilaksanakan menerusi pembabitan bilangan ahli yang ramai. Walaupun PKR mendakwa memiliki 450,000 ahli, hanya satu persepuluh ahli mengundi. Pemimpin PKR mendakwa masalah logistik menyebabkan ramai ahli tidak dapat mengundi atau gagal mendapatkan maklumat mengenai pengundian,” jelas artikel berkenaan.

Selain itu artikel berkenaan turut melaporkan mengenai tindakan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada 20 November lalu kerana mendakwa bahawa pemilihan itu dimanipulasi supaya beliau tewas dan calon kegemaran Anwar dipilih untuk jawatan berkenaan.

“Zaid berkata, wujud penipuan yang meluas ketika pemilihan dan dasar pemilihan itu direka untuk `menampakkan demokrasi’ dalam parti.

“Seharusnya pemilihan itu membuktikan bahawa PKR adalah sebuah institusi politik berbanding sebagai sebuah pentas untuk satu individu. Dakwaan pengkritik bahawa PKR kurang demokratik bertambah kukuh apabila pemenang terbesar dalam pemilihan itu ialah anak perempuan Anwar, Nurul Izzah.

“Dengan kedudukan bapanya sebagai Penasihat Umum PKR dan ibunya sebagai presiden parti itu, ia menunjukkan bahawa PKR sudah menjadi sebuah parti dinasti. Ia tidak sejajar dengan transformasi parti seperti yang diuar-uarkan oleh Anwar,” kata penulis artikel itu.

Laporan itu turut menyebut dakwaan Nurul Izzah bahawa beliau mengambil inisiatif sendiri untuk tampil bertanding dan ada laporan mengatakan bahawa bapanya tidak bersetuju dengan niatnya untuk bertanding.

Di samping itu, artikel berkenaan turut menyebut seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua mengakui beliau tidak mengambil kira risiko yang bakal dihadapi akibat dasar pemilihan berkenaan.

Pakatan pembangkang yang berjaya mengurangkan majoriti 2/3 parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum 2008 kini berdepan masalah berat sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat bertambah kuat.

“Beberapa pihak juga mendesak supaya Najib mengambil peluang daripada masalah PKR untuk mengadakan pilihan raya. Bagaimanapun ia tidak mungkin berlaku.

“Tetapi dengan perbicaraan kes liwat kedua Anwar di mahkamah dan pada masa sekarang dengan masalah perpecahan dan dakwaan berlakunya penipuan ketika pemilihan PKR, menyebabkan kesan `tsunami politik’ menjadi semakin tidak dirasai lagi,” kata artikel berkenaan.