Thursday, October 23, 2008

KENAPA HINDRAF TERUS DIBERI MUKA?

Oleh Zulkiflee Bakar (Utusan Malaysia 23 Oktober 2008)
PADA 15 Oktober lalu, kerajaan mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram - satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Berikutan keputusan itu Hindraf diletakkan sebaris dengan pertubuhan yang pernah diwartakan haram iaitu Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.
Sehari selepas itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf jika ia masih menjalankan aktiviti selepas diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram.

Namun begitu apa yang berlaku semalam di pekarangan Parlimen yang menyaksikan sekumpulan penyokong pertubuhan haram itu berhimpun telah menimbulkan persoalan kenapa tindakan tidak diambil ke atas mereka.

Bukan sahaja dibenarkan berhimpun, malah mereka boleh masuk ke bangunan Parlimen.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sudah menegaskan, sesiapa juga yang terlibat dengan pertubuhan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tetapi malangnya semalam mereka berkumpul seolah-olah mereka bukanlah sebuah pertubuhan haram dan membuat tuntutan mendesak kerajaan mengembalikan pasport antarabangsa milik Pengerusinya, P. Waytha Moorthy.

Bayangkanlah apa yang akan berlaku seandainya yang berkumpul tersebut ialah anggota-anggota Al-Arqam yang pernah diharamkan oleh kerajaan suatu ketika dulu.

Sebaik Al-Arqam diharamkan, pihak berkuasa melakukan pemantauan rapi dan mereka yang terlibat dalam apa juga bentuk perhimpunan pasti akan meringkuk dalam lokap. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak turut diangkut sekali oleh pihak polis dan sama-sama disumbatkan ke dalam lokap bersama ibu bapa mereka.

Justeru dalam soal ini, kerajaan dan pihak berkuasa harus tegas serta tidak terlalu berlembut atau memberi muka kepada Hindraf.

Ini kerana pewartaan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan haram tidak seharusnya menjadi sekadar satu rekod pentadbiran negara atau untuk memberi amaran semata-mata.

Sebaliknya, ia harus disusuli dengan tindakan tegas supaya orang ramai memahami bahawa Hindraf adalah benar-benar sebuah pertubuhan haram dan tidak boleh aktif sama sekali, bukannya diharamkan di atas kertas sahaja.

Apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Hindraf semalam jelas menunjukkan mereka seolah-olah cuba mencabar pihak berkuasa.

Mereka tahu bahawa pertubuhan itu diharamkan dan mengerti apa yang mereka lakukan melanggar undang-undang tetapi mereka lakukan juga.

Ini semua terjadi kerana ada parti politik yang masih terus membela biarpun aktiviti Hindraf seperti mana kata Syed Hamid boleh mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.

Oleh itu apa istimewanya penyokong-penyokong Hindraf ini sehinggakan mereka berkumpul secara terbuka di pekarangan Parlimen pun masih belum ada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa?

Kalau kita masih ingat pada tahun 1994, apabila Al-Arqam diharamkan bukan sahaja semua markas pertubuhan itu diserbu oleh polis dan aset mereka dirampas, malah kita menyaksikan bagaimana berbondong-bondong pengikut Al-Arqam 'diangkut' ke dalam trak polis tanpa mengira siang dan malam.

Mereka dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan dan ada pula yang dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.

Malah tindakan terhadap pengikut Al-Arqam itu berterusan hingga hari ini di mana koperasi Rufaqa dan ahli-ahlinya yang dikatakan tunas pertubuhan haram turut dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu kenapa Hindraf tidak diberi layanan yang sama?

Atas nama keadilan dan kesamarataan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas Hindraf kerana ia tidak harus dilihat seolah-olah mempunyai keistimewaan kerana masih bebas bergerak dan melakukan apa sahaja biarpun ia sudah diwartakan secara rasmi sebagai pertubuhan haram.

Apa yang dibimbangkan jika pihak berkuasa terus berlembut, penyokong-penyokong Hindraf akan terus aktif dan sama sekali tidak akan mempedulikan pewartaan terhadap pengharaman mereka.

Oleh itu sebelum kumpulan tersebut menjadi 'besar kepala' bertindaklah segera. Kita yakin sebahagian besar masyarakat India akan menyokong tindakan tegas kerajaan kerana mereka cintakan kedamaian dalam negara pelbagai kaum ini.

No comments: