Tuesday, February 4, 2014

Mesyuarat Pas Tidak Bangkit Jawatan MB Selangor


Isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya malam tadi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang disentuh hanya melibatkan soal politik tanah air dan antarabangsa termasuk PRK Dun Kajang.

"Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah PRK di Dun Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan Adun Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

"Bersesuaian dengan semangat dalam PR maka Pas Pusat dan Pas Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini," katanya dalam satu kenyataan,semalam.

Beliau menegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini tidak menjadi agenda perbincangan mereka.

"Sementara itu, Dr Mohd Hatta Ramli dilantik Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat untuk mengetuai jentera pilihan raya Pas dalam PRK ini," katanya.

Sebelum ini, Pas Selangor memberitahu bakal menuntut kerusi Menteri Besar Selangor jika ia dikosongkan. Tambah Abdul Hadi, turut dibincang termasuk soal hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh.

"Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh iaitu Maulana Matiur Rahman Nizami.

"Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan. 

"Pas mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

No comments: