Sunday, June 6, 2010

WANG IHSAN TURUT DIAGIH KEPADA PELAJAR TINGKATAN ENAM

Pengagihan wang ihsan di Kelantan yang sebelum ini hanya untuk pelajar sekolah rendah akan turut diberi kepada pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihaknya telah mengenal pasti antara 6,000 dan 8,000 pelajar tingkatan enam yang akan menerima wang tersebut.

Selain itu, antara 12,000 dan 14,000 murid sekolah rendah juga akan menerima wang ihsan tersebut yang akan diberi dalam tempoh terdekat membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10 juta, katanya kepada Bernama selepas merasmikan Ujian Kemahiran Menembak di Lapang Sasar Gunung, Bachok semalam.

Masing-masing akan menerima RM200, katanya.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kerajaan persekutuan juga bersetuju garis pendapatan ibu bapa yang melayakkan anak mereka menerima wang ihsan itu dinaikkan daripada RM530 kepada RM1,500 sebulan.

Peningkatan garis pendapatan bulanan ini akan membolehkan penjawat awam berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak turut menikmati bantuan tersebut, katanya.

Bagaimanapun, Awang Adek berkata pelajar sekolah rendah yang menerima bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin tidak akan diberi wang ihsan itu.

JAS SIASAT PEMBUKAAN LADANG DI HUTAN KAMPUNG ARING

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan kini menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku kemusnahan hutan dan pencemaran sungai akibat kegiatan pembukaan tanah bagi pembangunan ladang kelapa sawit berhampiran penempatan Orang Asli Kampung Aring Lima dekat sini.

Pengarah JAS Kelantan, Khairuddin Mohd Idris berkata dua pegawai dihantar untuk melakukan siasatan terhadap kegiatan itu dan tindakan selanjutnya bergantung kepada laporan mereka.

Beliau berkata pegawai-pegawai itu mengadakan pertemuan dengan penduduk Orang Asli dan pihak syarikat terlibat dalam pembukaan ladang kelapa sawit.

Pembukaan kawasan baru didakwa menjadi ancaman kepada kehidupan Orang Asli kerana sumber air bersih mereka semakin tercemar dan mereka terpaksa berpindah ke kawasan baru.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring Lima, Hek Selik, berkata ramai penduduk di kampung itu mula meninggalkan rumah mereka sejak beberapa hari lalu berikutan kesulitan mendapat sumber air bersih bagi keperluan harian.


"Mereka berpindah dan menjadikan penempatan sementara di tepi sungai dekat Kampung Aring Lapan dan kemungkinan pulang semula sebaik masalah keperluan air bersih selesai.

"Kalau sebelum ini mereka guna air sungai bagi kegunaan harian tetapi disebabkan kotor serta berbau busuk akibat tanah bukit yang disodok syarikat pembukaan ladang menimbus ke dalam sungai, air sungai itu tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Pengurus tapak Syarikat Pembangunan Ladang Rekma Sakti, Ong Hock Yin, menafikan projek pembukaan tanah untuk tujuan ladang sawit itu melibatkan sungai tertimbus.


Beliau berkata sungai itu sudah lama terbiar kotor dan kerja membersihkan sedang dijalankan semula.


"Memang ada pokok kayu yang disodok tumbang dalam sungai berkenaan dan perkara itu tidak menimbulkan masalah apabila pekerja saya sudah diarahkan mencuci semula kawasan ditebang bagi menjaga kebersihan sungai," katanya.

‘PADAN DAH WEY’ UNTUK RAKYAT KELANTAN

Oleh Nik Yahya Abdul Rahman

UNGKAPAN ‘padan dah wey’ adalah paling sesuai dengan suasana kehidupan harian dan senario ekonomi rakyat
Kelantan. Keresahan dan kepayahan diharungi masyarakat desa di kebanyakan kawasan pedalaman negeri itu cukup memilukan.

Kalau tidak percaya, sesekali masuklah ke kawasan kampung tradisional dan pedalaman. Mereka dahagakan pembangunan. Setidak-tidaknya seteguk air paip bersih, sekilau cahaya lampu elektrik dan sedering telefon pondok.

Kini sudah hampir 21 tahun mereka berada dalam keadaan serba-serbi kekurangan sejak PAS memerintah. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, ada lagi rakyat Kelantan yang seramai 1.4 juta orang itu yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’

Tiada siapa menafikan kalau dikatakan bahawa keseluruhan rakyat Kelantan begitu memerlukan pembangunan. Bagi masyarakat bandar, mereka masih tidak berpuas hati dengan kemudahan awam di kawasan perumahan yang tidak terbela, tanah untuk bercucuk tanam sempit, pembetungan dan pembuangan najis tidak terurus, sistem perkumuhan yang tidak mesra alam, sistem saliran dan pembuangan sampah tidak teratur serta tebatan banjir tidak berkesan.

Bagi penduduk kampung pula, mereka memerlukan infrastruktur jalan raya untuk mereka keluar/masuk kampung dengan selesa. Namun, sistem pengangkutan awam terlalu daif, sistem komunikasi termasuk telefon dan internet yang hanya dinikmati mereka yang berada, peralatan, baja dan input pertanian yang rendah mutunya.

Malah, pusat pemasaran hasil pertanian tidak lengkap, bangunan sekolah dan peralatan belajar tidak terurus khasnya sekolah agama rakyat, kesihatan dan kawalan penyakit masyarakat desa yang masih tidak terjaga dan sistem sosial lemah kerana kerajaan PAS tidak menggalakkan masyarakat desa untuk beriadah dan menghilangkan penat lelah bekerja dengan permainan tradisional seperti wayang kulit, mak yong, menora, dikir barat dan permainan puteri.

Kehidupan rakyat Tanah Rendah Sekebun Bunga itu tidak teratur. Buktinya banyak kampung yang masih tidak menikmati bekalan api elektrik, bekalan air bersih dan perhubungan telefon yang baik. Ada yang masih terus menggunakan lampu pam (minyak tanah), meminum air perigi atau air sungai dan tidak ada pondok atau talian telefon.

Negara kita merdeka sudah hampir 53 tahun. Negeri lain yang diperintah Barisan Nasional (BN) terus bertambah maju. Contoh ialah Terengganu. Lihat saja bandar Jertih yang terletak hanya 25 kilometer (km) dari bandar Pasir Puteh, jauh lebih maju dalam semua bidang.

Bandar Jertih dan daerah Besut mempunyai pelbagai kemudahan awam antaranya Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM); Universiti Darul Iman Malaysia (UDM); Kompleks Perikanan LKIM Besut; pusat pertumbuhan baru dan gerai MARA; Maktab Rendah Sains Mara (MARA); Institut Kemahiran Mara (IKM); dua masjid besar lagi cantik; jalan raya menyelinap ke semua kampung; dua dewan orang ramai yang besar
dan selesa; medan ikan bakar yang menyelerakan di Kuala Besut dan pusat pelancongan dunia semula jadi di Pulau Perhentian dan banyak lagi.

Berbanding bandar Pasir Puteh yang jauh ketinggalan di belakang. Bandarnya tidak teratur. Tidak ada tebatan banjir yang mampu membendung banjir; tidak mempunyai pasar besar yang kemas dan selesa dan bandarnya pula semakin sempit; stesen bas dan teksi yang daif – sekiranya hujan lebat menyusahkan pengguna dan orang awam.
Dalam pada itu, pemimpin PAS Pasir Puteh bercerita di sana sini dengan bangganya pembangunan pusat pertumbuhan pertanian dan pendaratan ikan Tok Bali yang terletak 15 kilometer dari bandar itu.

Kalau ada pembangunan di Tok Bali dan sekitarnya - itu kerja siapa? Kerajaan mana yang melaksanakan pembangunan itu? Apakah pembangunan yang ‘berjebak’ (melimpah ruah) di Tok Bali dilakukan kerajaan PAS? Jawapannya pelajar sekolah rendah pun tahu. Semuanya adalah usaha kerajaan BN yang ingin membangunkan rakyat Kelantan.

Sebagai anak Kelantan di perantauan, kita rasa malu dengan sikap pemimpin PAS. Kelantan masih pada tahap hanya cukup makan. Rakyat Kelantan khasnya penyokong PAS yang serba serbi kekurangan itu terus terlena dibuai dengan nyanyian yang melalaikan serta ceramah yang memutarbelitkan fakta agama dan syariah setiap hari oleh pemimpin PAS, termasuk juga PKR.

Itu baru satu jajahan, belum lagi kita tengok bandar Kuala Krai, Pasir Mas, Machang dan Tumpat. Begitu juga dengan Bandar Raya Islam Kota Bharu yang dibanggakan PAS yang begitu kotor dan berbau busuk.
Kita yakin pemimpin PAS mentakrifkan ‘pembangunan’ adalah kerja menaikkan atau membina bangunan. Bagi mereka, berpuluh gerai makanan dan masakan Thai yang berselerak di bandar Kota Bharu itu adalah pembangunan. Pada pandangan mereka, stesen bas dan teksi di Kota Bharu yang tidak pernah selesa dan menyakitkan mata memandang itu juga adalah pembangunan.

Selain itu, ramai rakyat Kelantan sudah bosan dengan pemimpin PAS yang selalu ‘cakap lain buat lain’. Selain itu, rakyat Kelantan juga bosan dengan wakil rakyat import. Mereka akan datang ke kawasan masing-masing sebagai ‘VIP’.

Rakyat tahu kemampuan wakil rakyat mereka hanya berceramah dan berjanji, tetapi kalau hendak pertolongan - sama ada untuk bantuan anak sekolah, kesihatan, kebajikan masyarakat atau bantuan zakat serta rumah PPRT, mesti kena berjumpa pemimpin UMNO dan BN.

NIK AZIZ, PAS DAN HALATUJU POLITIKNYA...

"...kita orang muslim bertegas kepada pihak orang kafir, dan berkasih sayang di antara sesama sendiri..."

Nik Aziz Nik Mat memang terkenal dengan "fatwa-fatwa"nya. Sementelah menjadi Mursyidul Am PAS, Nik Aziz telah dijadikan tempat rujukan bagi pelbagai maslahah politik yang berlaku di arena politik tanahair. Pelbagai "fatwa" telah dikeluarkan Nik Aziz. Oleh itu, saya hanya ingin "refresh"
kembali beberapa "fatwa"nya untuk peringatan semua, sama ada kepada ahli UMNO, PKR, DAP dan semua parti lain termasuklah ahli dan pemimpin PAS sendiri.

Yang pertamanya, mari kita imbas kembali tentang "fatwa" Nik Aziz mengenai "Allah juga mencarut". Menurut fakta, "fatwa" ini dikeluarkan oleh Nik Aziz bertujuan untuk mempertahankan buku "Shit" hasil karangan Shanon Ahmad. Kandungan buku yang "terlampau" itu dihiasi dengan caci maki dan carutan yang dipercayai ditujukan kepada pemimpin BN, terutamanya UMNO. Dengan keluarnya "fatwa" dari "Tok Guru" PAS ini, maka semua ahli atau pemimpin PAS serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat di"halalkan" untuk mencarut.

Seterusnya, "fatwa" Nik Aziz ketika berkempen pilihanraya iaitu "siapa pilih untuk memangkah PAS pada kertas undi pilihanraya, maka dia telah menempah tiket untuknya di syurga", lebih kurang begitulah bunyi "fatwa"nya. Secara mantiknya, sesiapa saja yang tidak memilih PAS, seakan-akan tiada peluang untuk mereka memasuki syurga. Mungkinkah Nik Aziz memiliki dan mampu mengeluarkan "tiket ke syurga"? Apakah ini adalah paksaan untuk memilih undi ketika pilihanraya?

"Fatwa" kali ini pula ditujukan khas kepada para pemimpin PAS. Adalah "haram" hukumnya untuk melompat keluar dari PAS. Pemimpin PAS harus membuat "bai'ah" tentang perkara lompat parti ini, jika keluar parti maka secara tidak langsung maka "ter"cerailah dia dan isterinya. Selain itu, baru-baru ini Nik Aziz juga mendoakan agar mereka yang keluar dari Pakatan Rakyat supaya cepat mati dan dibakar hidup-hidup di dalam api neraka. Itulah doa dari "Mursyidul Am" PAS yang "sayang"kan umat di Malaysia ini.

Selain itu, Nik Aziz juga pernah mengeluarkan "fatwa halal" untuk menerima sumbangan yang bersifat berkepentingan. Maksudnya "rasuah"lah. Cuma Nik Aziz menggantikan kalimah "rasuah" itu dengan kalimah "sumbangan". Nik Aziz membenarkan untuk ahli PAS untuk menerima rasuah dari mana-mana pihak ketika kempen pemilihan di dalam PAS tempohari. Hairan. Apakah "rasuah" ini "halal" hanya untuk ahli PAS sahaja dan "haram" untuk pihak lain terutamanya UMNO. Setahu saya, "perasuah dan yang menerima rasuah, maka nerakalah tempatnya", ada sesiapa pernah dengar tentang sabda Rasulullah mengenai perkara "rasuah" ini?

Berikutan isu "bogel" Eli Wong, Nik Aziz juga ada mengeluarkan "fatwa"nya. Nik Aziz seraya ber"fatwa" bahawa Islam membenarkan seseorang itu "berbogel" ketika bersendirian di dalam rumahnya. "Fatwa bogel" ini menjadi konstroversi untuk seluruh rakyat Malaysia. Setahu saya, Islam itu menerangkan bahawa walaupun kita bersendirian, masih wujud makhluk lain disekitar kita. Malah Allah yang Maha Melihat itu juga sentiasa memerhatikan kita. Oleh itu, apakah kita dibolehkan untuk berbogel walaupun ketika bersendirian? Tidak malukah kita mendedahkan aurat kita pada makhluk yang tidak mampu kita lihat secara kasar itu? Atau tidak malukah kita pada Allah S.W.T?

Lagi berkenaan "lompat parti", Nik Aziz telah meminta agar Eli Wong tidak meletakkan jawatan sebagai YB Bukit Lanjan berikutan kos pilihanraya yang mahal. Namun, lain pula "fatwa"nya kepada MP atau ADUN yang mengisyhtiharkan keluar dari Pakatan Rakyat. Nik Aziz meminta mereka meletak jawatan pula? Mengapa? Tidak terlintas tentang "kos yang mahal" untuk PRKkah? Mengapa pula ada "double standard"? Ketika ADUN BN di Perak keluar parti dan menyertai Pakatan Rakyat, mengapa dia dikatakan sebagai "simbol demokrasi"? Dan mengapa apabila ADUN-ADUN Perak itu melompat jadi "Bebas" sahaja, maka mereka dituduh sebagai "pengkhianat amanah rakyat"? "Cantik molek" benar "perangai"nya...

Ketika PRK Hulu Selangor, Nik Aziz juga telah mengeluarkan "fatwa mee segera" dimana "khutbah politik dihalalkan di masjid". Ini berikutan Hasan Ali berkhutbah di mimbar masjid pada solat jumaat di mana dia telah "terlupa" menunaikan rukun khutbah jumaat. Tiba-tiba, mereka menempelak pula pihak UMNO yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin yang diadakan di masjid?

Kemudian, Nik Aziz mengeluarkan "fatwa perpaduan". Nik Aziz telah meng"haram"kan niat perpaduan dikalangan umat Islam Melayu di seluruh Malaysia. Bukan sahaja peng"haram"an itu bertujuan untuk melepaskan dendam peribadinya terhadap UMNO, Nik Aziz juga membantah cadangan Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Malah, Nik Aziz terang-terangan mengutuk Timbalan Presiden PAS di khalayak rakyat Malaysia. Itukah akhlak Nik Aziz yang di"puja-puji" selama ini? Lebih mementingkan "dendam kesumat"nya berbanding perpaduan seluruh umat Islam Melayu di Malaysia? Itulah "rupa sebenar" Tok Guru PAS, dalam hatinya penuh dengan "dendam kesumat"...

Ingat lagi dengan "fatwa" Nik Aziz bahawa "Allah itu Maha Samseng"? Benarlah jika dilihat dari sudut "Allah itu Maha segala-galanya". Namun, tidakkah berdosa besar mengaitkan Allah itu dengan sifat-sifat mazmumah atau terkeji? Apakah dengan "fatwa" itu maka Nik Aziz membenarkan penyokong PAS menjadi samseng? Patut pun ramai ahli PAS suka buat kacau sana sini, demo sana sini, tidur atas jalan, baling batu kat orang dalam masjid, derhaka pada DYMM Sultan dan sebagainya...

Saya menulis tentang "fatwa-fatwa" Nik Aziz ini bukanlah untuk mengaibkan Nik Aziz dan PAS. Sesungguhnya saya melihat sudah begitu banyak sekali "fatwa-fatwa" yang dikeluarkan Nik Aziz yang menjadi konstroversi dan membawa kepada keburukan melebihi kebaikan. Bukanlah saya membenci Nik Aziz, namun saya kira sudah tiba saatnya Nik Aziz bersara dari meneruskan permainan politik DAP dan PKR. Nik Aziz hanya menjadi "buah catur" Anwar dan Kit Siang.

Saranan saya pada PAS, gantikanlah jawatan Nik Aziz. Jawatan Mursyidul Am PAS itu hanyalah jawatan "dunia" yang boleh dipertikaikan. Pada saya, Dato' Dr. Harun Din lebih layak. Pada saya jika Harun Din mengeluarkan buah fikirannya, mungkin PAS tidak akan terjejas sebegini. Harun Din mampu membezakan di antara perkara Islam dan politik, mungkin sebab itulah dia tidak pernah bertanding jawatan di dalam PAS.

Selebihnya, saya juga menyarankan supaya PAS keluarlah dari Pakatan Rakyat. Sedih saya melihat PAS yang juga saudara saya diperkudakan oleh DAP dan PKR. PAS dahulu tidak begini. PAS dahulu dihormati kawan dan lawan. Namun sejak bergabung dengan DAP dan PKR, PAS begitu teruk terjejas imejnya. Jika tidak mahu bergabung dengan UMNO di bawah "satu payung" pun tidak mengapalah. Namun pada saya, itu lebih "afdhal" sebenarnya. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih. Hairan juga jika difikirkan mengapa PAS sanggup bersekongkol dengan "kafir harbi", sedangkan saudara seIslam sendiri dianggap musuh dan diperangi. Mungkinkah ini "agenda" oleh golongan kuffar yang takutkan perpaduan Islam Melayu di Malaysia? Fikir-fikirkanlah.
Perbaikilah dan kembalilah kepada "identiti" PAS yang "sebenar". Wallahu 'alam.

Daripada Duke of UMNO