Friday, October 2, 2009

PMBK BERGEMBIRA, MANGSA RIBUT MENDERITA

Wajarkah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) meneruskan majlis keraian Aidilfitri semalam pada ketika lebih 100 rumah rosak akibat dipukul ribut?

Tidak bolehkah majlis yang diadakan hanya untuk kakitangan PMBK itu ditangguhkan ke hari lain, lagipun ia membabitkan kehadiran Menteri Besar yang sepatutnya ‘turun padang’ melihat sendiri kejadian.

Dalam kejadian petang kelmarin, ribut melanda beberapa kawasan di jajahan Tumpat, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok.



_____________________________

Azizah Mohammad bersama seorang anaknya di bahagian dapur rumahnya yang dihempap pokok kelapa akibat ribut di Kampung Dalam Ru, Pasir Puteh, kelmarin – gambar Utusan

_____________________________




Seorang gadis, Nurul Ain Ibrahim, 19, maut di Bachok akibat dihempap pokok semasa mencari tempat berlindung manakala di Pengkalan Chepa empat peniaga mengalami kecederaan.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh meninggalkan majlis berkenaan dan segera meninjau keperitan rakyat – bukan menikmati juadah sambutan Aidilfitri dalam suasana meriah.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman memberitahu, pihaknya turut mengarahkan semua Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) membuat bancian terperinci jumlah kerosakan harta benda untuk tindakan lanjut.

Penolong Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh, Zulkifli Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang membuat bancian untuk mengetahui jumlah sebenar mereka yang terbabit termasuk kerosakan harta benda.

Beliau menasihatkan mangsa membuat aduan dan laporan di Balai Polis berdekatan tentang kerosakan dan kerugian yang dialami dengan menyerahkannya bersama salinan laporan polis untuk dipertimbangkan bantuan segera.

Pada ketika kakitangan PMBK bergembira, rakyat Kelantan yang terbabit dengan kejadian merintih sedih kerana rumah mereka rosak akibat yang melanda beberapa kawasan di jajahan Pasir Puteh petang semalam merosakkan lebih 100 rumah akibat dihempap pokok tumbang dan atap bumbung diterbangkan.

Antara kawasan yang mengalami banyak kerosakan rumah dalam kejadian pukul 4.30 petang yang berlarutan selama kira-kira 15 minit ialah Semerak, Gaal dan Selising.

Tidakkan pihak atasan PMBK sensitif dengan penderitaan yang ditanggung rakyat di kawasan berkenaan, walaupun bukan dalam kawasan Kota Bharu?

Jika pengurusan PMBK sama-sama merasai keperitan ini, majlis mungkin boleh ditangguh.

Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan negeri sudah berjanji membantu meringankan beban kesemua mangsa ribut yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semalam.

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau sedih dengan apa yang berlaku dalam musim perayaan ini yang turut mengakibatkan seorang terkorban dan lebih 100 rumah rosak.

Katanya, pihak kerajaan negeri menunggu laporan penuh tentang kerosakan daripada penghulu dan wakil rakyat kawasan terbabit untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Hari ini walaupun Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mengadakan keraian tapi hati saya gundah kerana ribut melanda Kelantan dan banyak berlaku kemusnahan.

"Kerajaan akan beri bantuan semua sekali. Cuma sekarang menunggu senarai daripada penghulu dan wakil-wakil rakyat.

"Kita akan bantu seboleh yang mampu, kita akan ringankan beban mereka, tengoklah sama ada dari Tabung Serambi Mekah atau apa-apa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri PMBK.

Ribut itu adalah pengalaman mengejutkan bagi sebilangan penduduk yang belum pernah merasai suasana angin kencang dan bunyi deruannya mengopak bahagian bumbung rumah dan bagaikan menggoncangkan pokok-pokok.

Pegawai Penjaga Balai Bomba Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, bencana yang tidak diduga itu menyebabkan pihaknya bersama kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertungkus-lumus menjalankan kerja pembersihan kawasan.

Semua anggota dikerahkan membantu penduduk memotong pokok yang menimpa rumah dan merentangi jalan manakala TNB mengendalikan semula pendawaian elektrik yang terputus sehingga lewat malam agar penduduk tidak bergelap.

Di Kampung Tok Bali, Semerak, seorang mangsa, Zaharah Ibrahim, 80, berkata, lebih separuh atap zink rumahnya diterbangkan angin kencang sebaik sahaja dia selesai menunaikan solat asar.

"Atap rumah saya terbang tinggi, kami bergegas keluar rumah dengan kain sembahyang bersama anak dan dua cucu. Kami berpaut di beranda kerana tiupan angin terlalu kencang ketika itu," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, ketika kejadian itu sebahagian dinding batu rumahnya juga runtuh manakala dia melihat semua kenderaan berhenti di bahu jalan.

"Biar pun rumah kami rosak teruk kami bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku. Saya terpaksa menumpang di rumah jiran sementara menunggu bantuan daripada mana-mana pihak," katanya.

Di Kampung Dalam Ru, seorang suri rumah, Azizah Mohammad, 41, pula berkata, anaknya, Sopia Azman, 10, cedera ringan apabila terkena pelepah pokok kelapa yang tumbang dan hampir meranapkan bahagian dapur rumahnya.

Menurutnya, ketika ribut mula melanda, dia bersama anak-anaknya berada di tangga dapur dan sempat melarikan diri apabila melihat pokok kelapa kelihatan hampir tumbang.

"Sofia yang terkena pelepah daun kelapa pula terpaksa merangkak di bawah rumah untuk menyelamatkan dirinya ketika itu," katanya.

JPN SASAR PENCAPAIAN TERTINGGI PMR

Sumber: Utusan Malaysia

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menjangkakan Kelantan mencatatkan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula dari 7 hingga 13 Oktober ini.

Pengarahnya, Mohd. Ghazali Abd. Rahman berkata, pihaknya menyasarkan 5,312 calonnya berpotensi mendapat 9A, jumlah tertinggi berbanding pencapaian 399 orang dalam PMR tahun 2007 dan 409 pelajar pada 2008.

Katanya, sasaran mereka yang lulus tanpa E juga tinggi tahun ini iaitu 77.16 peratus berbanding tahun 2007 iaitu 60.17 peratus dan 61.30 peratus tahun 2008.

"Seramai 30,784 pelajar dari 155 sekolah menengah termasuk sekolah agama bantuan kerajaan di negeri ini akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sambutan Aidilfitri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 di sini semalam.

SMK Zainab yang diiktirafkan sebagai sekolah kluster pada April 2009 merupakan salah satu daripada lapan sekolah di negeri ini yang mendapat pengiktirafan itu selain Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Sekolah Kebangsaan Zainab 2, SMK Datuk Ahmad Maher dan SMKA Naim Lilbanat.

Mohd. Ghazali yakin sasaran itu akan dicapai berikutan pelbagai program kecemerlangan yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Katanya, program kecemerlangan itu tidak termasuk motivasi serta teknik menjawab soalan yang dijalankan secara bersepadu bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pentadbir sekolah YIK diminta jangan 'besar kepala'

Daripada Berita Harian

Pentadbir sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (), terutama pengetua tidak wajar membuat dasar sendiri, sebaliknya harus melaksanakan dasar yang ditetapkan yayasan demi kecemerlangan pelajar dan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata segala dasar yang ditentukan itu mempunyai peranan tersendiri dan rasional untuk dilaksanakan pentadbir sekolah.

Katanya, dasar untuk mentadbir sekolah YIK bukan saja membabitkan kemantapan akademik, malah mengambil kira usaha meningkatkan imej pelajar, guru dan sekolah.

“Kita (pengetua) tidak boleh buat dasar ikut suka hati hanya disebabkan tidak setuju dengan dasar ditetapkan YIK kerana peranan kita ialah melaksanakan dasar kerajaan, kita bukan penentu dasar berkenaan.

“Misalnya, apabila kita tetapkan syarat 3A 2B untuk kemasukan ke sekolah YIK, maka kita patut jelaskan rasionalnya kepada semua pihak, bukan turut sama membantah dasar berkenaan.

“Selain, itu, sekolah YIK hendaklah berusaha melahirkan kalangan pelajar yang mempunyai keseimbangan dalam intelektual dan emosi agar mereka mampu bersosial sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian pada majlis penyerahan buku Ekspedisi Kutub Utara dan Antartika oleh penulisnya, Chua Yew Beng kepada sekolah YIK di Nilam Puri, di sini. Turut hadir ialah Pengarah YIK, Ahmad Robert Abdul Rahman.

Chua, 71, seorang pesara yang berasal dari Pasir Mas, diiktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai pengembara tertua yang sampai ke Kutub Utara dan melakukan lawatan ke 151 negara di seluruh dunia setakat ini.

Chua berkata, sebanyak 2,000 naskhah buku edisi bahasa Malaysia mengenai pengalaman ekspedisinya akan diedarkan secara percuma kepada semua sekolah kebangsaan di negeri ini dalam masa terdekat.