Sunday, June 7, 2009

PERIKSA SEMUA PROJEK ERA IDRIS

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

bypass308.blogspot.com (6 Jun 2009)

JABATAN Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu perlu bertindak pro aktif dengan memeriksa semua projek mega atau tidak mega yang dibuat era kepimpinan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, walaupun Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said hanya mengarahkan tiga projek mega diperiksa.
Tiga projek mega yang diarahkan diperiksa ekoran runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Pengarah JKR negeri, Rosly Zainal pula ketika menyambut arahan itu berkata, usaha sedang dibuat untuk mengumpul satu pasukan jurutera untuk memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap di negeri ini.

Sepatutnya, walaupun tanpa apa-apa arahan, JKR Negeri Terengganu perlu bertindak menjalankan pemeriksaan berkala terhadap keselamatan bangunan-bangunan dan semua projek yang dibuat dalam era bekas Menteri Besar Terengganu, DSIJ yang dikatakan seorang pemimpin bertaraf dunia.

Tidak usah tunggu arahan. Lagipun, dari kenyataan MB Terengganu, permintaan supaya JKR memantau bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sudah dibuat tetapi belum ada apa-apa tindakan sehinggalah bumbung itu runtuh.

Kalau boleh, JKR Negeri menjalankan siasatan terhadap tahap keselamatan iaitu menjurus kepada aspek teknikal dan reka bentuk serta sama ada pembinaan tiga projek itu mengikut spesifikasi atau tidak.

Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula mestilah terus menjalankan siasatan terhadap pelbagai spekulasi yang mengaitkan pembangunan projek-projek mega di Terengganu dengan unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga perlu mempunyai jawatankuasa sendiri menyiasat kawan-kawannya, khususnya bekas-bekas Ketua Pemuda Umno bahagian, kalau-kalau mereka juga terkait dan terlibat dengan projek mega yang runtuh ini.

Jangan nanti, selepas JKR dapat jawapan, SPRM tahu cerita sebenarnya, tetapi Hishammuddin masih terkial-kial menerima pelbagai cerita palsu dari kawan-kawannya yang kebulor jawatan di dalam Umno negeri, hingga menyebabkan Hishammuddin tersilap membuat perhitungan.

Jesteru, Presiden Umno dan timbalannya, patutlah menimbang semula perlantikan Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu kerana kemelut politik Terengganu bukan disebabkan Datuk Ahmad Said sebaliknya disebabkan ‘ada kisah pembangunan projek mega’ yang mahu diselidungkan dari pengetahuan umum.

Hari ini, selepas bumbung stadium runtuh, ia mendedahkan banyak perkara. JKR kena siasat. SPRM kena siasat. Orang-orang politik kena siasat dan yang penting, jika ada bukti, hadapkan mereka ini ke muka pengadilan kerana mereka ‘tidak amanah ketika diberikan amanah’ untuk pembangunan negeri.

JKR tidak perlu menunggu arahan kerajaan negeri, tetapi mestilah mempunyai inisiatif untuk mengambil tanggungjawab mencegah lebih baik dari mengubati manakala SPRM juga sepatutnya tidak menunggu sehingga bumbung stadium runtuh baru hendak sibuk-sibuk merakamkan gambar-gambar bagi tujuan penyiasatan.

PAC di peringkat negeri dan PAC di peringkat Parlimen juga perlu turun menjalankan siasatan. Jangan cuba menyembunyikan sesuatu. Jika ia tidak disiasat dan tidak dibendung, penyakit ini akan terus merebak dan akhirnya, bukan sahaja bumbung stadium runtuh, malahan, kerajaan juga akhirnya akan runtuh.

Sehingga hari ini, selepas kejadian bumbung stadium runtuh, tidak kedengaran suara Geng 10 yang membidas Datk Ahmad Said melantik bekas pemandu ambulan menjadi pengerusi sebuah syarikat kerajaan negeri (GLC).

Tetapi lebih baik rasanya memberi tempat kepada orang yang tidak berpendidikan tinggi jika nyata mereka tidak menyeleweng, daripada meletakan seseorang yang mendakwa bertaraf dunia tetapi melantik kontraktor yang hanya mampu memasang bumbung yang boleh bertahan, setahun sahaja.

Ramai yang merindui cerita Geng 10 yang cukup hebat menyerang kepimpinan Menteri Besar. Mereka sepatutnya turut menyerang mereka yang bertanggungjawab membina stadium yang bumbungnya boleh runtuh sedangkan mereka melantik kontraktor dari luar Negara.

Geng 10, di manakah pakar-pakar strategi yang mereka ada kerana pakar-pakar ini sepatutnya digunakan untuk menjalankan kerja-kerja yang baik dan bukan membuat kerja menghantar sms bernada ugutan dengan niat mahu memboikot persidangan DUN Terengganu.

Ingat! Semua pihak yang bertanggungjawab, hendaklah menjalankan pemeriksaan terhadap semua projek terdahulu dan jika perlu, siasat juga siapa sebenarnya kontraktor yang mendapat projek ini…hem,hem,hem….orang kampong semua dah tahu!

Saturday, June 6, 2009

MAMPUKAH PAS MENGEMUDI PAKATAN PEMBANGKANG?

Bernama (5 Jun 2009)

Hasrat untuk mengangkat PAS sebagai "pengemudi" dalam pakatan pembangkang disuarakan pada muktamar parti itu tahun ini.

Dari muktamar sayap-sayap parti hingga ke amanat presidennya, PAS seolah-olah memberi isyarat awal bahawa ia bersedia memainkan peranan lebih dominan dalam pakatan pembangkang.

Seperti kata seorang perwakilan di muktamar dewan pemuda, PAS bukan tunggul.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebagai presiden pada Muktamar Tahunan PAS di Stadium Malawati hari ini berkata parti itu menawarkan diri memimpin perubahan selain bersedia memikul amanah kepimpinan negara jika pakatan berjaya memerintah selepas pilihan raya umum ke-13.

Walaupun Abdul Hadi segera menangkis soalan media adakah itu bermakna PAS berhasrat mengetuai kerajaan pakatan dan menduduki kerusi Perdana Menteri, parti itu tidak dapat lari daripada persepsi umum bahawa natijahnya ke arah itu.

"Masalah siapa yang pimpin negara, secara kolektif ialah Pakatan Rakyat," kata tokoh ulama dari Terengganu itu dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-55 Jumaat.

Pemerhati politik melihat perkembangan itu menunjukkan PAS, yang ditubuhkan pada 1951, memahami kedudukan dan kekuatannya selaku parti politik yang paling berpengalaman dalam pakatan pembangkang selain DAP dan PKR.

"Selain pengalaman, Islam yang menjadi teras perjuangan parti menjadi kelebihan kepada PAS untuk diberikan peranan ini," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasharudin Hassan Tantawi, dalam laporan media sebelum ini.

Tema muktamar "Islam Memimpin Perubahan" dilihat sebagai gambaran hasrat parti itu, walaupun selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Pilihan raya umum ke-12 lepas menyaksikan PAS menguasai 23 daripada 81 kerusi Parlimen yang dimenangi pakatan pembangkang dengan PKR dan DAP, masing-masing mendapat 31 dan 28 kerusi.

Parlimen mempunyai sejumlah 222 kerusi.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata hasrat untuk mengangkat PAS sebagai parti dominan dalam pakatan timbul selepas "PAS nampak kelemahan pada PKR".

Katanya walaupun PKR dilihat sebagai pemain utama dalam pakatan melalui peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang, parti itu sebenarnya ketandusan pemimpin berkualiti.

"Tapi parti lain terutama PAS ada pengalaman mentadbir kerajaan negeri di Kelantan, menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 dan mempunyai generasi pelapis berpengalaman di peringkat negeri dan persekutuan," katanya.

Beliau berkata PAS sebaliknya mempunyai ramai nama-nama berkaliber antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayub, Nasharudin Mat Isa, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, hasrat PAS untuk menjadi pemain utama dalam pakatan pembangkang dilihat tidak realistik kerana kemenangan parti itu pada pilihan raya umum lepas bukan kerana ia kuat.

"Hakikatnya, rakyat tidak bersetuju dengan status quo sedia ada," katanya.

Selain itu, Shamsul Amri menegaskan bahawa PAS juga mempunyai cabaran lain jika ia mahu mengetuai pakatan pembangkang seperti meyakinkan Anwar untuk mengadakan kabinet bayangan yang jelas.

"Cabaran kedua ialah supaya pakatan rakyat dijadikan sebuah parti gabungan seperti BN. Jika ada masalah, mana-mana pemimpin parti boleh keluar dari parti gabungan itu tetapi parti komponen tetap bersama dalam sebuah parti," katanya.

Tujuh parti politik adalah diperlukan untuk membentuk sebuah parti gabungan seperti BN.

Persoalannya, sejauh manakah kepimpinan baru PAS mampu menangani cabaran ini?

Tuesday, June 2, 2009

ADUN BN MOHON MAAF PADA HUSAM

Malaysiakini (2 Jun 2009)

ADUN Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) memohon maaf kepada exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas kepada naib presiden PAS itu pada 2007.

"Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan tersebut dan seterusnya menyatakan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada beliau dan keluarga beliau serta memburukkan keperibadian beliau," kata Nozula dalam notis permohonan maaf itu yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Nozula dan seorang lagi ADUN BN Kelantan, Muhd Adhan Kechil (Bukit Bunga) telah membuat laporan tersebut terhadap Husam pada akhir November 2007.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek yang mewakili Husam berkata, antara lain laporan mereka adalah mengenai:

-Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Hussam Musa.

-Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn Bhd

-Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd.

-Isu Kedai Majlis Daerah Machang.

-Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.

-Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan Pas mengutip dana.

-Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.

-Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.

-Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Ahmad Shabrimi berkata, tindakan kedua-dua ADUN tersebut antaranya, telah meletakkan Husam dalam kancah pertikaian umum dan mengheret beliau dalam suatu skandal, fitnah konspirasi, jenayah, kebencian dan buruk sangka umum dan kehinaan awam.

Berikutan katanya, Husam telah mengarahkam tindakan undang-undang diambil terhadap kedua-dua ADUN BN tersebut serta akhbar New Straits Times (M) Berhad.

"Akhirnya pihak ADUN berkenaan telah bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka kepada anakguam kami serta menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan.

"Dengan notis permohonan maaf ini, maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap anakguam kami adalah fitnah semata-mata, tidak benar dan tidak berasas.

"Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salahlaku yang didakwa. Pihak kami akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik anakguam kami.

"Kami juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain," kata Ahmad Shabrimi.